Tuesday, November 17, 2009

Rasulullah hua uswatun hasanah.......

Muhammad Ibni Abdullah: Uswatun Hasanah (Idola Terbaik)

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu menjadi contoh yang paling baik untuk menjadi ikutan kamu(Uswatun Hasanah) ” (Al-Ahzab 33:21)

Sejarah kelahiran Rasulullah sehingga kewafatannya sangatlah lazim bagi umat Islam. Saban tahun, kita diperingatkan mengenai Rasulullah pada setiap sambutan Maulidur Rasul dan hari-hari kebesaran Islam yang lain. Maka kali ini, kita tidak mahu menjelaskan secara terperinci akan kisah manusia agung ini tetapi menghuraikan salah satu aspek penting yang kita perlu cermati, iaitu Rasulullah sebagai suri tauladan yang terbaik.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Rasulullah adalah manusia yang paling mulia dan sempurna yang pernah dilahirkan di dunia. Muhammad bin Abdullah selain seorang yang berketurunan mulia, baginda juga dibesarkan dan dididik dengan budi pekerti yang mulia. Kemuliaan dan keindahan akhlak baginda membolehkannya digelar Al-Amin, seorang yang dipercayai. Begitulah Allah mempersiapkan seorang manusia untuk menjadi pemimpin kepada manusia seluruhnya.



Segala aspek dalam Islam tercerna dalam keperibadian dan kehidupan Rasulullah. Sepertimana kata Aishah r.a baginda adalah Al-Quran yang bergerak, kalau hendak tahu tentang Al-Quran lihatlah pada diri Rasulullah. Maka, mengetahui dan memahami sirah Nabi Muhammad adalah kewajiban bagi umat Islam kerana bagindalah idola bagi umat Islam.

Keperluan mengkaji kisah Rasulullah adalah:

1. Memahami peribadi Rasulullah menerusi penghidupan dan suasana hidup baginda supaya kita memahami baginda bukanlah sebagai manusia pintar tetapi adalah pesuruh Allah yang menerima wahyu dan taufiq daripadaNya.
2. Supaya manusia seluruhnya dapat meniru dan mengikut suatu contoh yang unggul dalam segenap lapangan hidup yang harmoni dan menjadikannya dasar hidup.
3. Membantu memahami isi kandung Al-Quran kerana isi Al-Quran diturunkan berdasarkan kejadian sejarah hidup Rasulullah
4. Hidup Rasulullah adalah gambaran dan dimensi yang jelas prinsip-prinsip Islam.

Persamaan Rasulullah dengan kita.

Selalu kita merasakan Rasulullah adalah manusia yang sangat jauh bezanya dengan kita. Kedudukan yang berbeza membuatkan kita sukar untuk mencontohi baginda. Cuba kita selami persamaan yang wujud antara kita dan Rasulullah agar dengan itu kita mampu meneladani baginda.

1. Rasulullah adalah pemuda semasa ia menerima wahyu dan berdakwah menyebarkan Islam. Kita juga adalah golongan pemuda yang penuh tenaga dan wibawa. Pemuda adalah golongan yang mampu membawa perubahan kepada bangsa dan agama. Jadilah kita pemuda yang merubah sejarah peradaban manusia masa kini sepertimana Rasulullah s.a.w di zamannya.
2. Rasulullah s.a.w lahir di zaman jahiliyyah yang sangat memuncak: Hamba abdi, seks, wanita, arak, perjudian, tindas menindas, riba’ dan sebagainya. Kita juga berada di dalam zaman yang sama tetapi di era moden dan IT.
3. Rasulullah mempamerkan contoh bagi setiap manusia untuk setiap peringkat kehidupan; Baginda adalah seorang bapa, pemimpin, anak, pemuda, businessman, penternak, pendidik, suami dan ketua turus tentera. Bagi wanita, isteri-isteri baginda adalah contoh terbaik untuk diteladani; Siti Khadijah, Aishah dan lain-lain.
4. Rasulullah adalah Hero kepada masyarakat dan umatnya. Asalnya dia adalah seorang yang biasa, tapi berubah dari Zero to Hero. Apakah panduannya? Itulah Al-Quran yang memandu baginda menjadi Hero di dalam masyarakat dan umat seluruhnya. Allah yang memberi hidayah dan sokongan. Kita perlu mengambil iktibar untuk menjadi Hero dalam masyarakat sepertimana Rasulullah lakukan dalam hidupnya.

Kesimpulan:

Menyambut Maulidur Rasul bukan sekadar memperingati baginda tetapi cuba berusaha lebih dari itu dengan mempelajari sirah Nabi s.a.w dan mengambil iktibar dan seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan. Sebagai pelajar, inilah peluang keemasan untuk mempelajari sirah Nabi Muhammad yang dicintai.

Kita cuba perincikan aplikasi-aplikasi yang praktikal dalam kehidupan sebagai pelajar. Kami meyakini hanya usaha ini yang akan menambah nilai (Added Value) diri pelajar di sini sebagai bekal membina keperibadian yang unggul (Personal Character) dan mulia sebagai modal insan yang berguna untuk Agama, Bangsa dan Negara.


nota kaki: sayu hati bila mengenangkan diri tidak seindah Rasulullah.......

No comments:

Post a Comment