Friday, April 15, 2011

cantik itu subjektif..




Semasa saya kecil dahulu, saya tidak tahu makna cantik. Tetapi, saya selalu dengar orang puji mama saya cantik. Baru saya tahu mama saya cantik. Cantik itu adalah mama saya.

Maka saya tengok mama saya. Muka mama putih melepak, mata beliau tajam menggoda. Baba kata macam mata kucing. Ramai orang ingat mama pakai kanta lekap tetapi sebenarnya mata mama memang Allah cipta sebegitu.

Mama juga seorang yang peramah dan lemah lembut. Beliau merupakan seorang guru. Apabila saya pergi ke sekolah mama, saya selalu dengar pelajar-pelajar mama puji mama cantik.

Apabila saya mula meningkat remaja, orang selalu kata kakak saya cantik macam mama saya.

Baru saya perasan, kakak saya cantik. Tetapi kakak saya berbeza daripada mama saya. Bulu mata dia lebat, melentik, dan mata dia besar. Kulit dia pula putih bersih, tidak berjerawat serta memiliki badan yang kecil.

Dia seorang yang lemah lembut dan peramah serta mudah mesra dengan orang. Dia mempunyai ramai kawan, dan ramai orang menyukai dan meminatinya.

Semua guru sukakan dia dan ramai lelaki yang ingin berkenalan dengannya. Kadang-kadang mereka berkawan dengan saya semata-mata ingin mendekati kakak saya.

Saya berbeza dengan mama dan kakak, saya tidak pernah mendapat pujian seperti mereka. Saya selalu mendengar kata-kata seolah-olah membandingkan saya dengan mama dan kakak.

Kadang-kadang mereka tidak menyangka bahawa saya merupakan anak dan adik kandung kakak memandangkan saya tidaklah secantik mereka.

Saya tembam, berkulit gelap, berjerawat, dan berangka besar. Saya juga seorang yang agak kasar dan garang. Kehidupan saya lebih rapat dengan abang-abang berbanding dengan kakak, oleh sebab itu saya membesar menjadi seorang perempuan yang tegas.

Saya membesar dengan pelbagai kritikan. Saya teringin untuk menjadi cantik seperti mama dan kakak, tetapi mustahil untuk saya menjadi cantik seperti mereka walaupun saya ber"make up" tebal.

Kecantikan mereka merupakan kurniaan Illahi, dan saya tidak dikurniakan memiliki kecantikan seperti itu.

Namun saya redha dengan apa yang Allah beri pada saya. Kawan saya cakap cantik tu subjektif. Ada orang yang nampak cantik di mata semua orang, dan ada orang yang nampak cantik di mata sesetengah orang sahaja. Saya mengaku, kata-kata kawan saya itu ada benarnya.

Jadi, saya tidak lagi mencuba untuk nampak cantik di mata sesiapa. Kerana saya tahu saya tidak mampu untuk kelihatan cantik seperti mama dan kakak.

Saya telah berjaya buktikannya. Kecantikan luaran saya tidak mampu ubah, tetapi kecantikan peribadi masih boleh saya miliki. Kecantikan akhlak, budi bahasa membuatkan saya juga memiliki ramai kawan dan guru-guru juga turut menyukai saya.

Saya sentiasa berusaha untuk menjaga akhlak saya dengan kawan-kawan dan dengan guru. Saya sentiasa mencuba untuk membuat baik dan membantu mereka. Alhamdulillah, saya mampu buktikan saya juga berjaya memiliki apa yang kakak saya miliki walaupun saya tidak dikurniakan kecantikan rupa paras seperti mereka.

Perkara tu sangat susah untuk saya lakukan kerana pada asalnya, saya bukanlah begitu. Pada mulanya saya seorang wanita yang sombong dan berperangai buruk. Saya tahu saya tidak boleh ubah rupa paras saya, tapi saya boleh ubah perangai dan akhlak saya. Biarlah rupa paras tidak cantik, asalkan peribadi dan akhlak saya cantik.

Secara beransur-ansur, saya cuba untuk menjadi perempuan yang berakhlak mulia, bersopan santun dan lemah lembut.

Saya mengaku saya memang tidak boleh ubah diri saya jadi lemah-lembut seperti mama dan kakak. Mereka memang begitu ukurannya, dan saya memang begini ukurannya. Namun saya telah mencuba sedaya upaya untuk memiliki sifat-sifat baik yang perlu dimiliki oleh wanita muslimah. Bukan untuk memiliki ciri-ciri seperti kakak dan mama, tetapi membentuk ciri-ciri saya sendiri yang Allah pendamkan dalam jiwa saya berdasarkan yang telah diajar oleh Baginda Rasulullah saw..

Secara jujurnya saya tidak mampu untuk memiliki sifat lemah-lembut seperti kakak. Hati saya bukan seperti hati kakak yang berjiwa lemah lembut. Mungkin situasi yang kami lalui berbeza, maka sifat yang membentuk peribadi kami berbeza.

Saya terdidik dengan kritikan dan hati saya sedikit sebanyak telah terguris walaupun pada dasarnya tidak pernah kelihatan. Namun ia telah membentuk peribadi yang lebih keras dan tegas supaya saya mampu mengharunginya.

Saya telah berusaha untuk menjadi yang terbaik, namun masih ada lagi kata-kata yang terkeluar daripada mulut-mulut yang tidak sedar dengan pemberian Allah yang mampu mengguris perasaan saya.

Masih ramai lagi orang yang selalu membanding-bandingkan saya dengan mama dan kakak dengan kecantikan luaran. Malah mereka selalu persoalkan kenapa paras rupa saya tidak cantik seperti mama dan kakak saya tanpa rasa bersalah. Saya betul-betul terguris dengan kata-kata seperti itu walaupun saya tidak pernah menzahirkannya. Hanyalah Allah yang memahami perasaan saya.

Walaupun hati saya banyak terguris dengan kata-kata mereka, namun saya bertekad dan ingin membuktikan bahawa kecantikan bukan penentu kebahagiaan, yang penting adalah dengan ilmu yang saya miliki dan cara saya membawa diri.

Saya pun menanam azam untuk belajar bersungguh-sungguh kerana saya selalu dengar, tidak guna cantik andai tidak berilmu. Saya ingin menjadi seorang yang berilmu.

Kekurangan saya, saya jadikan perangsang untuk berjaya. Saya berjaya kerana saya berusaha, bukan kerana paras rupa saya. Biarlah saya menang kerana memiliki ilmu bukan kerana memiliki kecantikan. Setiap orang memiliki kelebihan masing-masing, dan kelebihan tersebut perlu dicari dalam diri sendiri.

Baru kini saya sedar, walaupun Allah tidak kurniakan saya kelebihan dari segi kecantikan, namun Allah telah memberi saya banyak kelebihan yang tidak semua orang miliki.

Saya memiliki kemahiran melukis dengan baik, boleh mencipta dan mengubah lagu, serta Allah juga mengurniakan saya pemikiran yang kreatif untuk mereka sesuatu yang baru.

Saya berjaya buktikan kecantikan itu bersifat subjektif. Cantik tidak semestinya dinilai dengan kecantikan paras rupa, namun kecantikan juga boleh diukur dengan akhlak yang baik, ilmu yang berguna, serta cara kita membawa diri. Apa yang penting, kenali kecantikan semulajadi diri sendiri dan lakukan yang terbaik untuk menjaganya. Jika mengharapkan sesuatu yang Allah tidak ciptakan untuk jadi milik kita, kita tidak akan mengenali erti bersyukur.

Alhamdulillah. Banyak pengajarannya daripada kekurangan saya ni. Disebabkan saya tidak cantik, saya tidak terlalu mengejar produk-produk kecantikan yang mahal-mahal yang dijual di pasaran.

Kerana saya tidak cantik, saya tidak jadi mangsa gangguan lelaki-lelaki yang rosak akhlaknya.

Kerana saya tidak cantik, saya dapat pelihara diri saya daripada pandangan bernafsu lelaki yang tidak menjaga pandangannya.

Kerana saya tidak cantik, saya selamat daripada menjadi senjata iblis mencairkan iman lelaki.

Kerana saya tidak cantik, saya tidak mendapat fitnah dan cemburu daripada wanita-wanita lain.

Kerana saya tidak cantik, saya tidak mengharapkan pujian daripada mana-mana lelaki dan wanita, dan kerana saya tak cantik, akhirnya saya menemui insan yang mencintai saya seadanya.

Paling penting, kerana saya tak cantik, saya sentiasa mencuba untuk menjadi cantik pada pandanganNya. Cantik pada pandangan manusia bukanlah apa-apa.

Saya ingin berpesan kepada saudari-saudari sekelian yang mengejar kecantikan. Tiada wanita yang lebih cantik, melainkan wanita solehah.

Cantik di dunia, tidak membawa sebarang kebahagiaan di akhirat kelak. Cantiklah untuk DIA, maka segalanya akan menjadi CANTIK.

- Artikel iluvislam.com


nota kaki:kecantikn itu anugerah drpd Allah..peliharalah ia sebaik mungkin..Allahu jamilun wa yuhibbul jamal...


miss



4 comments:

  1. love this article,really,beautiful lies at the eyes of the beholder :) may Allah bless you my dear :)

    ReplyDelete
  2. syafa..ur words are really true..may Allah bless u too sweety=Dluv u..huhu

    ReplyDelete