Saturday, April 30, 2011

surat utk awak~




Salam sayang untuk awak.

Awak,

Sebelum itu saya ingin menyatakan bahawa saya sangat sayang awak. Mereka pun sangat sayangkan awak. Kami tak pernah berasa tidak senang apabila dipertemukan dengan awak. Maaf, mungkin pada mulanya kami agak takut untuk mendekati diri awak. Yelah, awak seperti tidak mengendahkan kami. Seperti tidak mahu bergaul dengan kami yang tidak up to date macam awak ni.

Rupa-rupanya kami juga salah, sebenarnya awak yang malu untuk mendekati kami. Kata awak kami ni terlalu baik, dan awak juga kata bahawa kami ni tak macam awak. Apabila awak berkata begitu, terasa ada percikan api di hati. Bukan percikan api kerana marahkan awak tetapi marahkan diri sendiri. Kami sangat bersalah, kami sepatutnya menegur awak dari mula lagi. Maafkan kami, kami bukanlah yang terbaik tetapi kami akan cuba jadi yang terbaik untuk awak dan yang lain-lain.

Semasa awak mengadu tentang sesuatu, saya cuba mendengarnya. Saya ingin menyelami hati awak. Sebenarnya awak juga baik. Mungkin benar, pengaruh kawan itu penting. Sekiranya kita berkawan dengan orang yang mengajak kita kepada kemungkaran, kita pasti akan terjebak sehingga melupakan-Nya. Itu tandanya iman kita masih belum kuat.

Awak,

Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: "Sesiapa yang lupa akan sesuatu solat, maka hendaklah ia mengerjakan solat itu jika ia telah mengingatinya, tiada tebusan lain untuk solat itu kecuali solat yang dilupakannya, sesuai dengan firman Allah yang maksudnya:" Dan dirikanlah solat untuk mengingatiKu."(al-Bukhari)

01.Solat merupakan tanda pertalian terus seorang hamba dengan Allah. Islam memfardhukan ke atas umatnya melaksanakan solat wajib sebanyak lima waktu sehari semalam.

02.Solat merupakan tiang agama. Oleh itu sesiapa yang mengerjakannya bermakna dia telah menegakkan agamanya. Manakala orang yang meninggalkannya bermakna dia telah meruntuhkan agamanya.

03.Bagi orang yang meninggalkan solat disebabkan malas atau sengaja hukumnya adalah fasik dan telah melakukan dosa besar iaitu mengabaikan salah satu daripada Rukun Islam.

04.Sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam bahawa solat wajib mesti dilakukan dalam apa keadaan sekalipun, maka solat wajib yang ditinggalkan dianggap sebagai hutang yang mesti dilangsaikan sebagaimana resminya setiap hutang itu wajib dibayar. Maka apabila sedar tentang kesilapan masa lalu, seorang muslim itu hendaklah segera bertaubat dan mengqadha' solatnya yang tertinggal itu.

Saya takut bila awak meninggalkan solat, sedangkan awak sendiri tahu jika meninggalkan salah satu sudah dikira bukan Islam lagi. Jangan malu untuk berubah! Pedulikan kata kawan 'syaitan' awak. Saya masih ingat lagi sewaktu awak menghantar saya ke stesen LRT, saya sudah berjanji di dalam hati ingin berterus terang dengan awak. Ingin sangat saya meluahkan secara berdepan dengan ayat yang tidak berkias. Saya rasa apa yang saya lakukan sebelum ini tidak menjadi kerana setiap kali saya menegur awak secara selingan mungkin tidak memberi apa-apa makna.

Saya juga masih mempunyai kelemahan dalam diri sendiri. Saya juga masih ketinggalan di dalam bab-bab agama, tetapi Alhamdulillah bab yang wajib tak pernah saya tinggalkan. Awak, saya mungkir janji! Saya tidak dapat mengucapkan perkataan itu secara bersemuka dengan awak. Saya sangat tidak berdaya, apakah saya tidak mampu melakukan 'Amar Maaruf, Nahi Mungkar' kepada kawan sendiri. Saya selalu gagal bila ia berkaitan dengan kawan.

Akhirnya, bila tiba di rumah barulah saya meluahkannya secara direct tetapi itupun menerusi telefon bimbit. Awak seperti mengubah topik lain, saya semakin takut. Takut awak akan terasa, tetapi ia adalah untuk kebaikan awak juga. Saya sangat sayangkan awak. Saya tidak mahu awak lalai sehingga melupakan DIA. Awak sebenarnya sangat baik sebab awak ada kesedaran dan tak pernah lari untuk semakin merapati kami.

Kata sahabat saya yang jauh lebih berilmu daripada saya, awak mungkin diberikan hidayah daripada Allah untuk berubah. Dan kami adalah orang-orang yang dipilih-Nya untuk mendekati awak. Kami tidak boleh meninggalkan awak. Kami tidak boleh tidak memperdulikan awak walau sedikit pun. Saya respect dengan sahabat saya itu. Awak, sekiranya awak membaca surat ini saya percaya awak mengerti maksudnya.

Yang Benar,

Kami yang sangat sayangkan awak.

Sumber grafik: blogspot

-Artikel iluvislam.com

miss

liyana

No comments:

Post a Comment